24 June 2014

Tentang Ramadhan dan sesuatu.

Terpanggil untuk aku kembali menukilkan sesuatu di ruangan yang jarang ku singgah ini.
Bermonolog di sini, tidak seperti monolog yang biasa. Kerana pendengarnya tiada, namun mungkin ada yang membaca. -Tapi, Yang Maha Mendengar tetap sentiasa ada.

Ketika ini, manusia sedang menanti tibanya Ramadhan. Beberapa hari sebelum tibanya ramadhan ini, diri seperti dibawa oleh mesin masa untuk kembali pada satu ruang; beberapa hari sebelum Ramadhan tahun lalu. Dan tahun sebelumnya.

-Tahun 1433H/2012; dua tahun sebelum tahun ini, sungguh ianya sesuatu untuk aku.

Alhamdulillah. Syukur. Dengan rahmat dan kasih sayang Tuhan untuk hambaNya, aku masih bernyawa pada ketika itu. Dan, menanti tibanya ramadhan pada ketika itu, bukan seperti hari-hari yang biasa yang pernah aku lalui. Indahnya rasa ketika itu, amat aku rindu ketika ini. Hari-hari yang Tuhan anugerahkan, penuh dengan kemanisan dan keindahan; menyedarkanku betapa Tuhan itu Ar Rahman. Ramadhan pertama bagiku, di mana hati merasakan indahnya Ramadhan. -Buat pertama kali sepanjang aku bernyawa, aku berasa demikian. Bulan penuh barakah dan keindahan; itulah Ramadhan.

Perginya Ramadhan tahun itu, menghadiahkan ku sesuatu. Berlalunya ramadhan; Tuhan hadirkan sesuatu dalam hati. -Fitrah manusia. Fitrah sebagai hambaNya. Fitrah sebagai seorang wanita. Fitrah di mana hati punya sesuatu rasa, namun ketika itu diri sedang berperang agar tidak lemah dengannya. -Tuhan anugerahkan rasa itu, walau ia tidak terluahkan; namun hanya Tuhan Yang Maha mendengar segala rintihan.

Dia dengar. Dia Maha Mengabulkan. -Dia anugerahkanku untuk bernyawa hingga ramadhan seterusnya.

Tahun 1434H/2013; Alhamdulillah. Tuhan mengizinkan untuk aku terus bernafas di muka bumi ciptaanNya ini.  -Ramadhan kali ini; Terkadang aku rasakan cabarannya ketika berada di situ ketika tu. Sedang Ramadhan menjelma, Allah hadirkan ujian untuk aku hambaNya. Allah uji, apakah benar aku benar-benar berharap dan bergantung hanya padaNya? Atau apakah ianya sekadar satu ungkapan semata? -Bermula dengan sesuatu yang Dia hadirkan selepas Ramadhan tahun lepas, sesuatu itu semakin kuat aku rasa menjelang Ramadhan ketika ini. Semakin aku kuat berperang dengan diri sendiri, semakin aku rasakan betapa lemahnya diri aku ini.

 "Kenapa kau mesti lemah dan kalah dengan perasaan?" -Persoalan yang sering aku lontarkan untuk aku kembali sedar dari lamunan. "Jika Allah izinkan ia untuk hadir, ia akan hadir juga. Jangan kau hanyut dan terbuai dalam angan-angan" -Kata-kata yang sering aku gunakan untuk aku kembali menampar diri bila hati mula rasa lemah.

Saat tibanya Ramadhan itu, Dia hadirkan ujian untuk aku bergantung hanya padaNya. Saat aku buntu, saat aku tidak tahu arah untuk aku tuju, ketika itu Dia mahu aku hanya bergantung padaNya. -Aku larikan diri dari dunia yang sering aku terjah secara senyap. Aku tahu, terkadang aku hanya buang masa bila berada di dunia itu. "Muka Buku" -Dunia maya yang tidak memberi sedikit pun faedah jika tersalah langkah. Dan aku hanya insan lemah. Aku hanya hambaNya yang sering kalah bila diuji dengan hati dan perasaan. Hingga sampai satu ketika, Allah mahu aku untuk tinggalkan sebentar dunia maya yang sering aku perhatikan.

Sukar. Sungguh ianya sukar -"jauhku untuk mendekat". Aku perlu jauh dari dia, untuk aku terus dekat padaNya. Aku tidak mahu terus condong pada satu perasaan, sedangkan aku tahu untuk istikharah hati perlu tidak condong pada mana-mana keputusan. Walau payah, walau sukar; aku tahu Tuhan tidak pernah membebankan hambaNya lebih dari kemampuan. Tuhan Maha Mengerti apa yang aku rasai, Tuhan Maha Mengetahui apa yang aku alami. Saat aku menjauh darinya seketika, saat itu Tuhan mahu aku untuk terus mendekatiNya. -Agar aku sedar bahawa kebergantungan itu hanya pada Yang Maha Esa, bukan pada sesiapa manusia.

Saat itu hati hanya mampu berbicara padaNya -"Jika dia benar untuk ku dekatkanlah hatinya dengan hatiku. Jika dia bukan milikku damaikanlah hati ku dengan ketentuanMu, dan berikanlah yang terbaik untuknya dan untukku". Walau tanpa aku lafazkan, walau dengan lafaz dan bisikkan, Tuhan tetap tahu apa yang berada dalam hati dan perasaan.

Hingga sampai satu masa, Tuhan hadiahkan ku sesuatu yang tidak pernah aku duga. -Sungguh. Dia Maha Mendengar. Dia Maha Mengabulkan doa. Beberapa hari sebelum Ramadhan tahun itu, Dia menjawab segala luahan dan rintihan yang selama ini ku simpan. Hadirnya sesuatu sebagai pembuka jalan, dengan izinNya, jalan itu adalah jalan yang sedang aku dan dia lalui sekarang.

Syukur. Alhamdulillah. -Aku bukan wanita solehah. Aku juga punya kisah jahiliyyah. Namun, Tuhan tetap mencurahkan rahmat dan kasih sayangNya, Tuhan tetap beri aku jalan yang selama ini aku mahu ianya ada.
Ramadhan ketika itu adalah permulaan perjalanan yang membawa kepada Ramadhan kali ini. Dengan izinNya, moga Ramadhan kali ini dapat aku dan dia lalui, untuk kami terus berjalan menuju ke hari-hari yang seterusnya hingga saat nyawa tiada lagi.

Sungguh indah aturan Yang Maha Kuasa. -Sungguh, Tuhan Maha Mencintai hamba-hambaNya.
Insan yang selama ini aku nafikan hadirnya dalam hati walau ketika itu hati ingin membenarkan, kini dia bersamaku, sebagai anugerah terindah dari Allah Ar Rahman.

Semoga Ramadhan yang bakal tiba kali ini menjadikan aku dan dia hamba yang lebih baik daripada sebelumnya. -Bantulah kami Ya Tuhan. Bantu kami agar bila kami bangun di sana nanti, kami akan kembali dipertemukan....


17 June 2014

Anugerah

Segala puji hanya bagiMu,
Yang memberikan cahaya ketika gelap,
Yang menghadirkan kekuatan ketika lemah,
Yang memegangku ketika jatuh,
Yang mendengar setiap segala rintih dan keluh.

Saat hati bermujahadah,
Kau hadiahkan sebuah anugerah,
Anugerah terindah,
Sungguh,
Yang terindah.

Moga dengan izinMu,
Anugerah ini akan sentiasa ku pelihara,
Sampai nyawa tiada,
Mohonku padaMu,
Bawa ia sampai syurga..




27 January 2014

Lama-

Lama aku diam;
Sepi, aku tinggalkan.

Dalam keriuhan aku diam,
Dalam kesunyian aku merintih.
Lama-
Aku diamkan.
Lama-
Tiada aku rintihkan.

Dia sentiasa Tahu;
aku tahu,
Dia sentiasa Tahu.

Walau aku diam lama,
Walau aku lama tiada merintih,
Dia sentiasa tahu.

Dan lama;
Aku rindukan,
Semangat kemanisan itu;
yang kini seperti sekian lama,
aku biar dan hilangkan.

Apakah lama lagi aku begini?
Dengarlah, Tuhanku.
Bantulah, Rabb ku.

Aku tidak mahu lama begini,
Hadirkanlah semangat yang manis itu semula,
agar selamanya ada dalam diri.

Agar selamanya,
aku dalam dakap Kasih yang hakiki.