28 April 2012

Hebatnya Cinta; Allah


Assalamualaikum.

Kali ini, kita bercakap tentang cinta. Hanya ada satu cinta yang agung. Dan, saya pasti, semua orang tahu bahawa cinta yang teragung itu adalah cinta untukNya. Subhanallah. Betapa hebatnya cinta ini. Kerana, Allah tidak akan dan tidak pernah mengecewakan kita. Allah tidak akan menyakiti kita. Allah tidak akan membiarkan kita; Selagi kita mencari jalanNya, dan mencari redhaNya. Benar. Cinta itu indah. Terlalu indah, dan hanya Allah yang tahu betapa indahnya cinta itu.

Benar. Saya hanya seorang manusia. ya. MANUSIA. yang punya nafsu, yang sentiasa menjadi sasaran Syaitan dan iblis untuk dihasut. Dan tidak terkecuali, saya tidak lepas dari itu. Tak perlu bercakap panjang soal itu. Pada saya, biarlah. Segala kehidupan yang telah berlalu dan berlaku, itu adalah sesuatu kesan peninggalan. Sesuatu yang akan sentiasa menjadi satu pengajaran.
Betapa jauh berada dariNya satu ketika dahulu. Ya benar... Tak perlu untuk menafikan dosa2. Kerana dosa yang telah dilakukan itu adalah sesuatu yang nyata.

Bertahun tahun lamanya; hidup bertemankan dosa. Membiarkan diri jadi dedahan. Kalah dengan kecantikan. Kalah dengan tipu helah syaitan yang sentiasa mendesak diri untuk menurutkan nafsu. Mahu itu ini. Memperlihatkan itu ini. Ya Allah.. Sungguh, hambaMu lemah. dan tenggelam dengan semua itu...

Sering tenggelam dan mengagungkan nafsu dan cinta yang entah apa apa. Ya! Entah apa2. Kononnya, cinta abadi. Cinta yang hanya bertumpukan pada pandangan dunia. Dan akhirnya, terus membiarkan diri berselimut dengan dosa. Ya Allah.. Tak terhitung dosaku..

Jadi, mengapa perlu diceritakan tentang ini? Untuk membuka aib sendiri? untuk mencari simpati? Untuk dapatkan perhatian? Hanya satu sebab, dan cukuplah hanya Allah yang tahu.
Untuk renungan bersama, yang tiada seorang pun manusia yang sempurna. Tapi percayalah,, saat kamu merasa indahnya cinta itu, itu adalah saat yang paling bahagia. Subhanallah...

Kita sering bercerita; betapa manisnya bercinta. Sweet. Hati wanita sering berkata begitu saat dilamun cinta. Tapi, ini bukan cinta biasa. Cinta ini cinta yang perlu ada. Cinta yang diwajibkan.
Kita dilahirkan, diciptakan, hanya untuk melalui kehidupan ini sebagai hambaNya...

"Alastu birabbikum?" (bukankah Aku ini Tuhanmu?)
" Qalu bala syahidna"
(benar, kami bersaksi bahawa Engkau adalah Tuhan kami)

Seperti mana yang dinyatakan dalam surah Al- 'Araaf ayat 172:

"Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): "Bukankah Aku tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini". "


Ya Allah. Mungkin dahulu aku tidak pernah memahami erti hidup yang sebenar. Dan hakikatnya, terus leka. Namun syukur, Alhamdulillah. Atas segala yang pernah berlaku dalam hidup. Itu adalah sesuatu yang mengajar untuk lebih mencintaiMu. dan ternyata, cinta itu adalah indah.

Kepada sesiapa sahaja yang membaca, cukuplah kita mencintai hanya Allah. Kerana cinta untukNya itu indah. Subhanallah. Terasa keindahanya. Terasa kelainanan.



Inilah kuasa dan kehebatan Allah. Allahu Akbar...







Semoga kita sama2 akan terus mencintaiNya, dan kerana kita harus saling mengingatkan untuk sesuatu kebaikan... Biarpun sukarnya, biarpun ada suara2 tidak senang, tapi hakikatnya, itu adalah tujuan hidup kita.





Masa akan sentiasa ada selagi Dia izinkan masa itu untuk ada. Tapi seandainya masa itu terhenti, nafas tak mampu dihembus lagi. jasad tak mampu dihidupkan lagi....

Selama mana masa ini diberi untuk kita, kita masih berpeluang untuk merasa kehebatan Cinta Allah S.W.T... Cinta yang benar... Cinta yang Abadi.....



27 April 2012

Ku Mohon

Assalamualaikum.

Rasa macam nak kongsi satu lagu. lagu dari kumpulan Firdaus. Tajuknya: Ku Mohon.
Ya Allah.. Bila dengar, dan bila di dengar liriknya satu persatu,,, Betul2 apa yang dirasa dalam hati. Sungguh,

Ku Mohon ya Allah... Kuatkan lah diriku. Untuk terus melawan. Untuk terus berjalan tanpa menoleh kebelakang. Untuk meninggalkan segala keseronokan yang mengaburi hati. Untuk meninggalkan segala yang membuatkan ku jauh dariMu.. Kerana dalam hati ini hanya ada satu, iaitu ingin terus berjalan di jalanMu... ya Allah..


Jom, sama2 kita dengar sambil hayati betul2 lirik ni...
(Just open in newtab or stop playlist dekat blog ni bila nak dengar lagu ni, ok. :) )






di lubuk hatiku terdalam
ini yang ku pilih penuh keyakinan
namun kadang bimbang menyerang
sanggupkah melangkah ku terus berjalan

saat badai menderaku
hinggah rapuh dan goyah
tiada daya tuk bertahan
hanya Engkau tempat berpegang

berkatilah setiap semangat jiwa
tuk selalu berjuang di jalan Mu
terjagalah hati yang kadang redup
tertiup angin di duniawi

gemerlap kilauan harta
takhta dan cinta manusia
yang menyesatkan
selamanya…

saat hujan basahiku
penuh lumpur dan noda
dalam derai air mata
dengarlah permohonan ku~~







Lailahaillallah.. Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah.
Muhammadurasulullah... Nabi Muhammad pesuruh Allah...

18 April 2012

Jalan yang dipilih


Assalamualaikum.

Dah lama tak bercerita. Tak berkongsi apa2. Kali ni, terasa seperti nak bercakap tentang "Jalan". Jalan yang kita, sebagai manusia, pilih untuk hidup di dunia milik Allah S.W.T. Sejak kita dilahirkan, sejak itu bermula langkah baru dalam kehidupan kita. Bukan saja kehidupan kita, malah kehidupan ibu bapa kita. Kehadiran kita ibarat satu cahaya dan bahagia buat mereka. Dari kita berusia satu hari, hingga kini. Bertahun lamanya kita hadir dalam hidup mereka. Mungkin, di awal2 dahulu, kita adalah bahagia. Kita adalah cahaya. membuat mereka senyum, dan tersenyum. Tetapi, sedar atau tidak, semakin kita meningkat usia, semakin jauh perjalanan kita di kehidupan ini, mungkin, tanpa kita sedari kita kerap menyakiti mereka. Sedar atau tidak? Mustahil, jika kita fikir kita sentiasa membahagiakan mereka dan tidak pernah sekalipun menyakiti mereka. Mustahil.

Apa kaitan ini dengan jalan yang kita pilih? Banyak kaitannya. Jalan yang kita pilih, itulah jalan yang akan menentukan tempat untuk kita di suatu tempat yang kekal nanti. hanya ada dua destinasi. Hanya ada dua jalan yang membawa kita ke destinasi itu. "SYURGA, dan NERAKA".
Sesungguhnya Syurga dan Neraka adalah benar. Kematian itu benar. Hari perhitungan itu benar. Nikmat dan azab itu benar. Terlalu banyak kekurangan dalam diri ini, untuk bercakap dengan lebih lanjut soal ini. Tak tahu untuk bercakap tentang dalil2 berkenaan syurga dan neraka. Cukuplah sekadar berkongsi apa yang mampu saja. Ramai yang tahu dan pernah membaca Surah Al-Zalzalah. Surah yang menceritakan tentang hari pembalasan manusia.

Cuba kita hayati tafsir surah Az- Zalzalah:


"Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya, Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya, Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); "Apa yang sudah terjadi kepada bumi?" Pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya: Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian). Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) - untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! "

(Surah Al Zalzalah)


Sungguh. Hari pembalasan itu benar. dan bumi akan hancur. Dan kita akan memperoleh balasan dari semua perbuatan. Walau sebesar zarah, pembalasan itu tetap akan ada. Sesungguhnya Allah Ya 'Adl. Maha Adil. Walau hanya sebesar zarah sesuatu kebaikan itu, tetap akan tercatat dalam catatan amalan kita, begitu juga sebaliknya.


dan, benar. Syurga dan neraka itu adalah benar.

Segalanya turut diceritakan dalam Surah Al-Qari'ah.

"Hari yang menggemparkan, Apa dia hari yang menggemparkan itu? Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari yang menggemparkan itu? - (Hari itu ialah: hari kiamat), hari manusia menjadi seperti kelkatu yang terbang berkeliaran, Dan gunung-ganang menjadi seperti bulu yang dibusar berterbangan. Setelah berlaku demikian, maka (manusia akan diberikan tempatnya menurut amal masing-masing); adapun orang yang berat timbangan amal baiknya, - Maka ia berada dalam kehidupan yang senang lenang. Sebaliknya orang yang ringan timbangan amal baiknya, -Maka tempat kembalinya ialah "Haawiyah" Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia "Haawiyah" itu? (Haawiyah itu ialah): api yang panas membakar."

(Surah Al-Qari'ah)

Ternyata. tempat yang panas itu benar. Dan tempat untuk bahagia itu juga benar. Sedar atau tidak, jalan yang kita pilih dan lalui sekarang adalah jalan yang akan membawa kita ke sana. Sama ada ke api yang membakar, ataupun memperoleh nikmat Allah yang tidak terhingga.


Mungkin, ada diantara kita yang tersalah jalan. Ya. Itu hakikat. Bercakap tentang diri sendiri. Pernah berada dan berjalan di suatu jalan yang kononnya memberikan bahagia dan gembira. Jalan yang hanya dipenuhi nikmat dunia. Dibutakan mata. Dihitamkan hati. Ditipu oleh Syaitan yang sentiasa mengajak kita mengikutnya. Ya. Diri sendiri ini pernah tertipu. Dan terpedaya dengan semua itu. Namun, Syukur Alhamdulillah. Sesungguhnya Allah S.W.T Maha Pembuka Rahmat. Maha Memberi Kurnia. Maha Pengampun. Dan Maha Penerima Taubat. Allah Ya Fattah, Ya Wahab, Ya Ghafar, Ya Tawwab.

Sungguh diri terasa malu. Dan terasa hina. Ya. ternyata kita hanyalah HambaNya yang hina. Dan syukur; kerana setiap saat yang diberikan untuk kita adalah peluang. Peluang untuk kita mencari jalanNya.


Sekarang, sama2 kita renungkan. Jalan mana yang ingin kita lalui. Dan destinasi mana yang akan kita tuju. Selagi ada masa dan peluang, masih belum terlambat untuk kita memperbetulkan kembali jalan salah yang telah kita pilih itu. Sungguh, bila kita meninggalkan sesuatu yang haram, Allah akan mengurniakan kita dengan satu keindahan yang tidak dapat tergambar dengan kata2. Hanya mampu dirasa dalam hati. Dan bila sesuatu keindahan itu kita rasa, jangan kita berpaling dariNya. Kuatkan hati. Berdoa supaya kekuatan terus diberi.

Semoga kita mampu terus berjalan di jalan yang menuju ke syurgaNya. insyaAllah, dengan izinNya..











12 April 2012

Perihal nasihat dan menyampaikan

Assalamualaikum.

Hari ni, tiba2 rasa nak bercakap tentang nasihat dan penyampaian nasihat. Sekarang ni, macam2 cara boleh digunakan untuk menyampaikan sesuatu. Secara langsung, atau tidak langsung, kedua2 nya tetap sebagai satu cara penyampaian. Benar, niat untuk menyampaikan sesuatu itu adalah sesuatu yang baik. Yang dituntut oleh Islam.

Rasulullah S.A.W bersabda ; "sampaikanlah dariku walaupun hanya satu ayat" (HR Bukhari).

Dan, dalam surah Al-'Araf, ayat 62 juga turut menceritakan perihal nasihat,
"Aku sampaikan kepadamu amanat-amanat Tuhanku dan aku memberi nasihat kepadamu, dan aku mengetahui daripada Allah apa yang kamu tidak ketahui" Nabi Nuh A.S berkata kepada kaumnya.

Kebetulan pula, baru baca majalah solusi, tentang nasihat. Dan kebetulan pula tadi, ada hamba Allah yang share sesuatu di facebook. Niatnya memang lah untuk memberi peringatan, tetapi, kenapa perlu guna foto seseorang? Tak salah untuk tegur cara pemakaian, tapi, rasanya tak perlu lah gunakan foto orang. Maaflah kalau ada yang terasa, sekadar berkongsi pendapat. Kesian dengan mereka yang jadi mangsa. Kita nak orang lain jaga aurat, tapi secara tak langsung kita sendiri yang menyebarkan aib orang yang tidak menutup auratnya.

Tertarik dengan satu frasa dalam ruangan majalah tu. Ruangan yang bertajuk "Agama itu nasihat" ditulis oleh Hj Zainuddin Ali. Beliau menulis,

"Nasihati dan bimbinglah mereka dengan ajaran Islam. tutuplah aib dan cintai mereka sebagaimana kita mencintai diri sendiri. Apabila melihat mereka melakukan keburukan, bencilah perkara buruk itu, bukan dirinya. Kemudian doakan kebaikan di dunia dan akhirat buat mereka"

Setuju tak dengan kata kata tu? Secara peribadinya, ya. saya setuju. Kita semua manusia, sama di sisi Allah. Masih seorang hambaNya yang hina. Biarpun kita menasihati, dan menyampaikan sesuatu kebaikan, tak bermakna kita bebas dari keburukan. Allah tidak menciptakan kita maksum. Terlepas kah kita dari sesuatu keburukan hanya dengan menyebarkan sesuatu kebaikan? Sama2 fikir. Saya juga perlu berfikir. Dan perlu untuk renung kembali semuanya.
"Matlamat tidak menghalalkan cara". Ramai orang tahu pasal ni. Kita ingin menegur, menyampaikan sesuatu yang baik, tapi, caranya, mendedahkan aib orang lain. tepuk dada, tanya hati. Jika kita berada di tempat orang itu, apa kita rasa?

Syukur, kepada sahabat2 yang dipermudahkan hati untuk berjalan di jalanNya. Dan tidak melakukan sesuatu perkara buruk itu. Kepada yang menutup auratnya, Alhamdulillah. Tapi, kita jangan lupa. kadang2 kita tak sedar. Kita sedang mendedahkan aib orang. Cukuplah apa yang orang sudah tahu dan lihat. Makin orang tengok foto tak menutup aurat tu, makin bertambah dosa mereka. Sayangilah mereka, dan berdoalah untuk mereka. Harap2 lepas ni, kita sama2 lebih hati2 bila ingin menyampaikan sesuatu. InsyaAllah. :)



Ok lah. Cukup sampai disini. Sekadar berkongsi pendapat. Maaf sangat2 kalau ada yang terasa. Bukan untuk menunding jari ke arah siapa siapa. Sekadar bersuara, dan mengingatkan sesama kita, juga untuk diri sendiri.




:)






Semoga Allah permudahkan segala urusan, dan terus istiqamah dalam melakukan sesuatu kebaikan. InsyaAllah.

Sharing is caring; Berbagi itu indah. -"Gambaran Hari Kiamat"-

SAHABAT2 semuaa jika anda sayang pada ALLAH dan AGAMA , saya minta sahabat2 semua ambil beberapa minit utk luangkan masa utk membaca dan membayang kan apa yg di tulis........please jangan megendahkan nya... baca lah , bayang kan lahh......

Gambaran Hari Kiamat

- Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.

- Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.” Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.

- Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.

- Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut “Ajbuz Zanbi” yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.

- Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.

- Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.

- Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.

- Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.

- Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.

- Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.

- Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:

ⅰ- Pemimpin yang adil.
ⅱ- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
ⅲ- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.
ⅳ- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
ⅴ- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata “Aku takut pada Allah”.
ⅵ- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
ⅶ- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.

- Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara “pergilah berjumpa dengan para Nabi”. Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.

- Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.

- Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy itu tiba dibumi.

- ‘Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.

- Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.

- Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin.

- Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.

- Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.

- Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.

- Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.

- Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.

- Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.

- Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta’ala dengan Maha Bijaksana.

- Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.

- Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :

ⅰ- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
ⅱ- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
ⅲ- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.

(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)

Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.

Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.

Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.

Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.

Rujukan: Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al- Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.

Jika sekiranya kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada sahabat² yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW: ❝ Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat. ❞ Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :

① Sedekah/amal jariahnya.

② Doa anak²nya yang soleh.

③ Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain.

Sumber: Amar Sufi








#Copy paste from blog FARA YACOB






Sesuatu yang perlu untuk dikongsi, semoga terdetik sesuatu dihati, untuk kemblai kepada fitrah, dan manhaj Allah. InsyaAllah..

03 April 2012

Setiap Saat adalah peluang


Assalamualaikum.

Sedar tak sedar, kita dah berada pada hari ke empat dalam bulan ke empat, kalendar masihi. Dan hari ke 12 dalam bulan ke lima bagi kalendar hijrah. Cepat sungguh masa berlalu. kan?
Cuba kita hitung umur kita pula. Mungkin ada yang baru belasan tahun, mungkin ada juga yang baru ingin mencecah puluhan tahun, dan mungkin ada juga yang telah pun masuk ke alam puluhan. Selepas umur dihitung, cuba kita hitung semula. Berapa banyak masa yang telah kita habiskan. Dan dengan cara apa kita habiskan masa itu? Ya Allah, tak terhitung. Kan?
Tak tergambar betapa banyaknya masa yang telah kita gunakan. Guna untuk itu, guna untuk ini.
Cuba cari kesimpulan, secara keseluruhan, kita guna untuk apa?

"Demi Masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Melainkan yang beriman dan yang beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. " (Surah Al Asr)

Bukan untuk mengata ataupun menunding jari kepada sesiapa, tetapi sekadar untuk berkongsi. Dan menunding jari ke arah diri sendiri. Ya.

baiklah. "Setiap saat adalah peluang". Kata kata yang tiba2 saja tertulis bila terfikir. Betul lah kan? Setiap saat yang diberi untuk kita, sebenarnya, ia adalah peluang. Peluang untuk apa?
Subjektif jawapan nya. Peluang untuk melakukan itu dan ini, tetapi apakah yang dilakukan terletak dan terpulang kepada individu itu sendiri. Kita semua dah diberi akal fikiran. Kita tahu menilai baik dan buruk. Tapi, kenapa masih ada sesuatu yang buruk itu dilakukan?

Ya Allah. Diri aku juga. Aku juga tidak terkecuali dari melakukan sesuatu yang buruk itu.
Kamu, anda, ataupun sesiapa saja, ya benar. Tiada manusia yang bersifat sempurna.

Tetapi kalian, fikirkan semula. Kenapa kita masih hidup sampai hari ini? Kerana Allah, Mahu kita kembali padaNya. Mahu kita untuk dekat denganNya. Dan DIA memberikan kita setiap saat itu. Setiap peluang itu.

Ya. Mustahil untuk manusia bersifat sempurna, tetapi tidak mustahil untuk mencuba. Dan berubah. Renungkan kembali, atas sebab apa kita dihidupkan. Kenapa kita diberi nyawa?
Hanya satu sebabnya. Sebagai hamba Allah. Dan mencari seberapa banyak "tiket" untuk menetap di penempatan yang kekal selamanya. Sama ada syurga, ataupun neraka.

Terasa teruk dan kecil diri. Bila terfikirkan soal saat2 yang dah digunakan tanpa hala. Tanpa tujuan. Malahh, terguna pula dengan dosa. Ya Allah. tak terhitung dosaku, tak terkira berat dan busuk yang ku pikul. tentu sekali, jika kita boleh undurkan masa, ternyata sesuatu yang buruk itu kita ingin buang, dan gantikan dengan sesuatu yang baik. kan? Tapi, realiti tidak begitu. Inilah hidup. Inilah kehidupan. Setiap saat yang berlalu tidak akan boleh kita gantikan dengan apa2. Hanya sekadar penyesalan untuk sesuatu yang kita sudah lakukan, dan hanya doa taubat serta keampunan dariNya yang kita harapkan.

Congak semula perjalanan hidup. Naik turun hidup. Setiap kesenangan mahupun kesedihan, kedua duanya adalah dugaan dariNya. Ya Benar. Bila kita berada di puncak kesenangan, cenderung untuk kita mula berasa bongkak, dan riak. teruja. Dan akhirnya kalah dengan nafsu membangga. lalu lupalah kita pada DIA. Kita lupa, kesenangan itu datang dari siapa. Kita lupa kejayaan itu datang dariNya. Bila mana kita dilanda kesedihan dan kejatuhan, hati kita sibuk menyalahkan itu, salahkan ini. Kita lupa, dari mana sedih itu datang. Dan atas sebab apa jatuh itu menimpa kita.

Ternyata, kita pernah terlupa semua itu, bukan?


Sekali lagi, "Setiap saat adalah peluang"

Fikirkan tentang ini. Peluang ini. Masih terbuka luas peluang untuk kita cuba mengubah keadaan. Setiap sesuatu perlukan usaha. Ya. Usaha. Kemudian doa. Dan tawakal. Sesuatu perubahan itu tidak akan terjadi jika kita hanya berdoa dan menunggu. Perlu ada langkah yang mencuba. Mencuba untuk bergerak ke arah sesuatu yang baru, dan sesuatu yang lebih baik.
Jangan hilang keyakinan dalam hidup. jangan hilang keyakinan terhadap takdir dan ketentuan Allah. Ambil setiap peluang itu. Ambil. Dan jangan hanya terduduk, mengalah pada manusia. Jangan hanya terdiam, takut pada yang tak sepatutnya. Dan jangan hanya bisu, tunduk pada cinta.





Mungkin, cukuplah sampai disini. Tak perlu rasanya nak berkata panjang. Bercelotah banyak2. Sekadar ingin meluahkan sesuatu, yang ingin dijadikan penegesan kepada semua. Kita semua bersaudara. Dan sudah tentu, hanya yang terbaik yang di inginkan untuk semua.

InsyaAllah, kalian mampu lalui. dan mampu mengambil peluang itu untuk mengubah sesuatu.
Saya sentiasa doakan, walau siapa pun kalian, walau di mana pun lokasi, sama2 kita mengambil peluang itu.




Lihat diri; muhasabah diri. Sejauh mana kita dah pergi, dan kemana arah tuju kita nanti.

Wallahualam.




Sekian. :)





Semoga Allah Merahmati kalian semua.

Jika aku jatuh cinta

Assalamualaikum. Bukan satu puisi, bukan juga kata madah. tetapi kata dari hati seseorang Hamba Allah, kata kata doa, ikhlas dari hati seorang HambaNya.

(Sekadar copy paste dari laman web, mungkin ramai yang tahu dan pernah membaca. Tetapi ketika ini, hati bersuara. Seperti ini juga hati meminta..


Bismillahirrahmanirrahim…

Ya Allah…
Jika aku jatuh cinta,
Cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya PadaMu,
Agar bertambah kekuatanku untuk mencintaiMu…

Ya Muhaimin…
Jika aku jatuh hati,
Izinkanlah aku menyentuh hati seseorang yang hatinya tertaut padaMu,
Agar tidak terjatuh aku dalam jurang cinta nafsu…

Ya Rabbana…
Jika aku jatuh hati,
Jagalah hatiku padanya,
Agar tidak berpaling daripada hatiMu…

Ya Rabbul Izzati…
Jika aku rindu,
Rindukanlah aku pada seseorang,
Yang merindui syahid di jalanMu…

Ya Allah…
Jika aku menikmati cinta kekasihMu,
Janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan indahnya,
Bermunajat di sepertiga malam terakhirMu…

Ya Allah…
Jika aku jatuh hati pada kekasihMu,
Jangan biarkan aku tertatih dan terjatuh,
Dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepadaMu…

Ya Allah,
Jika Kau halalkan aku merindui kekasihMu,
Jangan biarkan aku melampaui batas,
Sehingga melupakan aku pada cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepadaMu…

Amin ya rabbal alamin…





Manusia dan cinta, serta hati dan perasaan, memang tidak dapat dipisahkan. Tetapi, Cinta yang hakiki dan sejati adalah cinta padaNya, Allah Maha Besar. Dan semoga dariNya juga, kita peroleh cinta yang diredhai. Cinta yang membawa kita semakin mencintaiNya, Maha Esa.
Buanglah cinta yang menghanyutkan kita, kikislah cinta yang semakin hanyut dalam jurang nafsu dan dunia.


InsyaAllah.