Assalamualaikum.
Dah lama tak bercerita. Tak berkongsi apa2. Kali ni, terasa seperti nak bercakap tentang "Jalan". Jalan yang kita, sebagai manusia, pilih untuk hidup di dunia milik Allah S.W.T. Sejak kita dilahirkan, sejak itu bermula langkah baru dalam kehidupan kita. Bukan saja kehidupan kita, malah kehidupan ibu bapa kita. Kehadiran kita ibarat satu cahaya dan bahagia buat mereka. Dari kita berusia satu hari, hingga kini. Bertahun lamanya kita hadir dalam hidup mereka. Mungkin, di awal2 dahulu, kita adalah bahagia. Kita adalah cahaya. membuat mereka senyum, dan tersenyum. Tetapi, sedar atau tidak, semakin kita meningkat usia, semakin jauh perjalanan kita di kehidupan ini, mungkin, tanpa kita sedari kita kerap menyakiti mereka. Sedar atau tidak? Mustahil, jika kita fikir kita sentiasa membahagiakan mereka dan tidak pernah sekalipun menyakiti mereka. Mustahil.
Apa kaitan ini dengan jalan yang kita pilih? Banyak kaitannya. Jalan yang kita pilih, itulah jalan yang akan menentukan tempat untuk kita di suatu tempat yang kekal nanti. hanya ada dua destinasi. Hanya ada dua jalan yang membawa kita ke destinasi itu. "SYURGA, dan NERAKA".
Sesungguhnya Syurga dan Neraka adalah benar. Kematian itu benar. Hari perhitungan itu benar. Nikmat dan azab itu benar. Terlalu banyak kekurangan dalam diri ini, untuk bercakap dengan lebih lanjut soal ini. Tak tahu untuk bercakap tentang dalil2 berkenaan syurga dan neraka. Cukuplah sekadar berkongsi apa yang mampu saja. Ramai yang tahu dan pernah membaca Surah Al-Zalzalah. Surah yang menceritakan tentang hari pembalasan manusia.
Cuba kita hayati tafsir surah Az- Zalzalah:
(Surah Al Zalzalah)
Sungguh. Hari pembalasan itu benar. dan bumi akan hancur. Dan kita akan memperoleh balasan dari semua perbuatan. Walau sebesar zarah, pembalasan itu tetap akan ada. Sesungguhnya Allah Ya 'Adl. Maha Adil. Walau hanya sebesar zarah sesuatu kebaikan itu, tetap akan tercatat dalam catatan amalan kita, begitu juga sebaliknya.
dan, benar. Syurga dan neraka itu adalah benar.
Segalanya turut diceritakan dalam Surah Al-Qari'ah.
"Hari yang menggemparkan, Apa dia hari yang menggemparkan itu? Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari yang menggemparkan itu? - (Hari itu ialah: hari kiamat), hari manusia menjadi seperti kelkatu yang terbang berkeliaran, Dan gunung-ganang menjadi seperti bulu yang dibusar berterbangan. Setelah berlaku demikian, maka (manusia akan diberikan tempatnya menurut amal masing-masing); adapun orang yang berat timbangan amal baiknya, - Maka ia berada dalam kehidupan yang senang lenang. Sebaliknya orang yang ringan timbangan amal baiknya, -Maka tempat kembalinya ialah "Haawiyah" Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia "Haawiyah" itu? (Haawiyah itu ialah): api yang panas membakar."
(Surah Al-Qari'ah)
Ternyata. tempat yang panas itu benar. Dan tempat untuk bahagia itu juga benar. Sedar atau tidak, jalan yang kita pilih dan lalui sekarang adalah jalan yang akan membawa kita ke sana. Sama ada ke api yang membakar, ataupun memperoleh nikmat Allah yang tidak terhingga.
Mungkin, ada diantara kita yang tersalah jalan. Ya. Itu hakikat. Bercakap tentang diri sendiri. Pernah berada dan berjalan di suatu jalan yang kononnya memberikan bahagia dan gembira. Jalan yang hanya dipenuhi nikmat dunia. Dibutakan mata. Dihitamkan hati. Ditipu oleh Syaitan yang sentiasa mengajak kita mengikutnya. Ya. Diri sendiri ini pernah tertipu. Dan terpedaya dengan semua itu. Namun, Syukur Alhamdulillah. Sesungguhnya Allah S.W.T Maha Pembuka Rahmat. Maha Memberi Kurnia. Maha Pengampun. Dan Maha Penerima Taubat. Allah Ya Fattah, Ya Wahab, Ya Ghafar, Ya Tawwab.
Sungguh diri terasa malu. Dan terasa hina. Ya. ternyata kita hanyalah HambaNya yang hina. Dan syukur; kerana setiap saat yang diberikan untuk kita adalah peluang. Peluang untuk kita mencari jalanNya.
Sekarang, sama2 kita renungkan. Jalan mana yang ingin kita lalui. Dan destinasi mana yang akan kita tuju. Selagi ada masa dan peluang, masih belum terlambat untuk kita memperbetulkan kembali jalan salah yang telah kita pilih itu. Sungguh, bila kita meninggalkan sesuatu yang haram, Allah akan mengurniakan kita dengan satu keindahan yang tidak dapat tergambar dengan kata2. Hanya mampu dirasa dalam hati. Dan bila sesuatu keindahan itu kita rasa, jangan kita berpaling dariNya. Kuatkan hati. Berdoa supaya kekuatan terus diberi.
Semoga kita mampu terus berjalan di jalan yang menuju ke syurgaNya. insyaAllah, dengan izinNya..
No comments:
Post a Comment