“Ya Allah..” lafaz nama Agung itu keluar dari bibirnya
seiringan dengan butir jernih yang menitis dari mata. Buku “Rabiatul Adawiyah”
yang baru sahaja selesai dibacanya digenggam erat. Matanya terpejam, dan butir
jernih dari matanya terus menitis. Lantas, dia berbicara sendiri
“bagaimana untuk aku menjadi sehabat itu, Ya Rabbi..?
Hebatnya cintanya, dan hebatnya cintaMu..
Suci hatinya tak mungkin untuk ku capai,
Namun berbekalkan seketul hati yang telah dikotori ini,
Aku mohon agar Engkau sucikan..”
Matanya terkatup rapat. Dan ketika itu, satu persatu
bayangan datang mendekat. Dia terbayang wajah seorang hambaNya yang hadir
menjadi satu tanda. Tanda untuk dia lebih mengenal Tuhan, tanda agar dia lebih
mencintai Tuhan. Hadirnya insan itu mengetuk hatinya, dan terkadang dia juga
seperti ketercelaruan. Namun, dengan adaNya Dia di hatinya, ditiupkan padanya
angin ketenangan.
Hadirnya insan itu, tiada dinafikan ianya adalah ketentuan
Tuhan. Dan hadirnya insan itu juga
membuatkan dirinya berfikir sendirian.
“Setiap apa yang Allah hadirkan, ada bahagia dan hikmahnya.
Setiap apa yang Allah tentukan, ada indah yang tak dijangka.
Allah Al Qadir. Ingat.”
Gadis yang bernama Mujahidah itu teringat tentang sesuatu.
Sesuatu tentang hati. Dan Allah sentiasa
menguji hambaNya, tentang hati. Walau dia sering, berkata tentang menjaga hati,
hakikatnya dirinya sendiri juga sedang berada dalam fasa yang sukar untuk
dilalui. Hatinya seperti tidak dijaga sepenuhnya, hatinya seperti terisi dengan
sesuatu yang lain.
“Fitrah. Ia fitrah.” –bisik hatinya.
Namun, di hening malam ini dia merenung sesuatu. Dia
bertekad. Untuk lawan dan berjuang habis-habisan. Dia tidak mahu tewas dengan cinta yang
ditemani nafsu, perasaan dan syaitan.
“Allah Maha Kuasa”. -dia tidak mahu membenarkan hatinya
untuk disentuh sesiapa. Cukuplah, dengan keizinan yang telah diberikannya suatu
ketika.
Namun, aturan dan perancangan Allah itu adalah rahsia. Dia
sendiri tidak menjangka bahawa kini dia masih diuji. Hadir hambaNya, untuk
membawanya ke jalan yang Dia redha. Hadirnya syabab itu, tidak pernah dia duga.
Hatinya pernah keras menafikan, namun kini hatinya seolah mahu membenarkan.
“Siapa yang tidak tersentuh hatinya andai hadir seorang
syabab ingin membawanya ke jalan yang Dia redhai” –bisik hatinya lagi.
Dan bila berada di persimpangan begini, dia perlu semakin
kuat berjuang. “Agama! Lihat agamanya!” hatinya kuat menyatakan.
Dia akui, syabab itu punya agama. Bukan sekadar insan yang
muslim di kad pengenalan, inshaaAllah. Syabab itu punya Islam dan Iman yang
dipertahankan. Sebelum hatinya diketuk
oleh mana-mana hamba Tuhan, dia selalu menginginkan hadirnya khalifah dalam
hidupnya untuk membawanya ke jannah. Khalifah yang akan mengajar dan
mendengarkannya bacaan ayat-ayat suci, khalifah yang akan menjadi pencerita
setia tentang sirah-sirah nabi, khalifah yang akan menariknya semula andai dia
tersasar dari jalan Ilahi. –dan kini hatinya bertanya “apakah syabab ini
khalifah yg dimaksudkan?”
Namun, dia masih belum temu jawapan.
Dia melihat kembali buku Rabiatul Adawiyah itu. Hatinya
menjerit. Ingin punya kekuatan sebegitu. Kehadiran syabab itu menghadirkan
dirinya suatu perasaan takut kehilangan. “Apakah aku mampu menjaga hati ini
hanya untuk Tuhan andai aku mengiyakan keinginan?”
Dia takut. Terkadang hadirnya bicara insan itu walau ianya
tentang ilmu, akan menghanyutkan jiwanya. dia takut untuk mengiyakan namun dia
juga tidak mampu untuk menidakkan.
Saat ini; dia hanya mahu redhaNya. dia hanya mahu tumpukan
jiwanya padaNya. dia mahu membuang segala kecenderungan yang ada dalam
perasaan, dan mengharapkan bantuan sepenuhnya dari Ar Rahman.
Saat ini dia berbisik;
“Aku bukan Rabi’ah. Aku hanya manusia lemah yang ingin
berjalan gagah; yang mencuba sehabis daya untuk terus melangkah. Bukan aku
takutkan masa hadapan, bukan aku tidak impikan sebuah keluarga dan kebahagiaan,
namun aku takut. Andai hijrah itu tidak kerana Tuhan. Fitrah; bila muslimah
mengimpikan si soleh untuk membawanya ke jannah. Namun aku masih takut, andai hijrah itu hanya semata untuk bernikah. bukan
aku takut berusaha, tidak sekali aku menafikan sunnah RasulNya; tapi aku Cuma takut.
Andai usaha itu memudarkan hati untukNya.”
“cukuplah aku katakana ketika ini; di tanganNya ada semua
cerita. Termasuk cerita tentang aku, dan sesiapa sahaja”.
Dan dia tahu, Tuhan sentiasa ada, malah dekat. Lebih dekat
dari urat lehernya.
“Aku bukan Rabi’ah. –namun ingin sekali aku punya kekuatan
sepertinya. Aku Mujahidah. –dan keranaNya, akan aku berjuang sehabis daya.”
-----cerita ini hanya dinukilkan, berilhamkan kehidupan, perasaan, dan pemandangan.
agar kita; kembali fokus pada tujuan dan jalan yang satu. walau apa yang dilakukan, jangan tersasar dari niat Lillahi ta'ala. Hatta pernikahan sekalipun, teguhkan niat. Lillahi ta'ala.------