08 August 2012

Doa Mustajab

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.



Salam sejahtera sahabat semua. :) Baiklah. Di sini, saya ingin berkongsi sesuatu berdasarkan apa yang dibaca. (Hope tak plagirise. Huhu)

Berbicara tentang doa, kita semua tahu apa itu doa. Doa adalah bentuk komunikasi kita dengan Pencipta kita, Allah SWT. Sebagai hambaNya, adalah menjadi satu keperluan bagi kita untuk berdoa kerana doa adalah permohonan yang dipanjatkan daripada kita kepada Allah Yang Maha Tinggi. Doa terbahagi kepada tiga jenis iaitu:

1. Berbentuk mentauhidkan Allah disamping memuji-Nya.
2. Memohon daripada Allah keampunan, rahmatNya, dan untuk mendekatkan diri kepadaNya.
3. Memohon kepada Allah SWT untuk keperluan dunia seperti meminta harta, ketenangan, dan sebagainya.

Mengapa kita berdoa? kerana tiada daya dan upaya kita untuk melakukan apa-apa tanpa izin dan kuasaNya. Apakah kita mampu untuk berjaya jika Allah tidak mengizinkannya? Sudah tentu tidak. Maka, kita berdoa agar dikurniakan kejayaan setelah sesuatu itu kita usahakan. Tapi, harus diingat! Doa harus disertai dengan usaha! Doa tanpa usaha adalah sesuatu yang sia2. Sama-sama kita ingat ya.

Allah SWT berfirman dalam surah Al Baqarah ayat 186 yang bermaksud:

Apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentangKu, sesungguhnya Aku dekat. Aku menyahut doa orang yang berdoa, tatkala berdoa kepadaKu, justeru sahutlah seruanKu.

Subhanallah.. Sesungguhnya Allah dekat dengan kita.. Yang jauh, hanya kita. Kan? :(

Baiklah, berdasarkan apa yang dikongsi oleh Ustaz Zahazan dalam buku kecil yang bertajuk "Andainya engkau tahu", terdapat beberapa petua doa makbul. Petua-petuanya ialah:

1. Berdoa dengan ikhlas kepada Allah SWT.
2. Memulakan doa dengan pujian kepada Allah SWT dan selawat ke atas Rasulullah SAW.
3. Mengakhiri doa dengan pujian kepada Allah SWT dan selawat ke atas Baginda Rasulullah SAW.
4. Bersungguh-sungguh ketika berdoa, menghadirkan hati, dan meyakinkan diri pada penerimaannya oleh Allah SWT.
5. Berdoa dengan khusyuk dan rendah diri; sabar; penuh pengharapan; dan mengangkat kedua tangan.
6. Sentiasa berdoa; sama ada susah atau senang
7. Tidak berdoa tentang keburukan; tidak mendoakan keburukan orang lain.
8. Tidak berdoa di tempat maksiat.
9. Merendahkan suara
10. Berdoa dengan mengulangi "Ya Rabb" sebanyak 3 kali.
11. Menghadap ke arah kiblat.
12. Berdoa dalam keadaan berwuduk.
13. Bertaubat kepada Allah SWT sebelum memohon hajat.
14. Tidak bersajak dalam doa; menggunakan ayat yang ringkas tetapi penuh bermakna
15. Menyeru Allah dengan nama-namaNya yang mulia.
16. Makan dan minum dari sumber yang halal.
17. Melakukan usaha menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran
18. Berdoa untuk diri sendiri sebelum mendoakan orang lain.
19. Menghimpunkan anak jari kesemuanya kecuali ibu jari
20. Mengaminkan doa dan menyapu muka dengan tangan setelah selesai berdoa.

Subhanallah.. Ternyata, sebelum ini saya sendiri tidak tahu akan petua-petua ini. Alhamdulillah, Allah memberi kesempatan untuk kita tahu, dan semoga kita dapat mengamalkan. insyaAllah. :)

Seterusnya, saya ingin berkongsi tentang Doa Mustajab. Doa Mustajab yang dimaksudkan di sini ialah doa yang Allah SWT memberikan kelebihan berdasarkan kepada beberapa situasi. Antara doa mustajab yang dapat saya kongsikan di sini ialah:

1. Mendoakan saudara Muslimnya tanpa diketahuinya.

- Diriwayatkan daripada Abu Darda' r.a, Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud;
Apabila seorag muslim mendoakan saudaranya tanpa diketahuinya, Malaikat akan berkata "Bagimu juga seperti yang engkau doakan" (Riwayat Muslim)

-Islam amat mementingkan hubungan persaudaraan dan sifat pemurah dalam diri seorang Muslim, kerana Allah itu Maha Pemurah. Jadi, jika seseorang muslim mendoakan kebaikan kepada saudara muslim yang lain, kita juga akan peroleh ganjaran daripada doa itu. Subhanallah.. Allah Ar Rahman.. Maha Pemurah.. Betapa indah cintaNya pada kita.. Semoga kita sentiasa mendoakan kesejahteraan saudara-saudara Muslim yang lain, mudah-mudahan kita peroleh kesejahteraan. InsyaAllah.

2. Doa orang yang dizalimi.

-Rasulullah SAW telah bersabda kepada Mu'az ketika menghantarnya ke Yaman:
Maksudnya; Berwaspadalah dengan doa orang yang dizalimi kerana tiada pendinding antaranya dengan Allah. (Riwayat Al Bukhari)

-Sebagai manusia, kita tidak dapat lari dari sifat lemah, dan sifat kuat. Dan kita lihat sekarang, banyak penindasan berlaku keatas golongan yang lemah. Banyak kezalima berlaku keatas mereka. tetapi sesungguhnya, Allah amat menjaga hambaNya. Allah Al Wali, Maha Pelindung, Al Hafiz, Maha Penjaga. Jika kita dizalimi mereka yang kuat, berdoalah. Kerana Allah sentiasa dekat dengan kita, insyaAllah, Allah makbulkan doa kita. :')

3. Doa ibu bapa kepada anak-anak.

-Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Tiga doa yang mustajab; tiada keraguan lagi; Doa ibu bapa kepada anaknya..
(Riwayat Ath Tabhrani)

-Kedudukan ibu bapa amat tinggi di sisi Allah kerana mereka telah diberikan amanah utk mejaga anak-anak yang akan menjadi tonggak dalam memakmurkan dunia dengan akhlak islam yang mulia. Jadi sahabat semua, doa ibu bapa kita merupakan antara doa yang mustajab.. Sama-sama kita jaga mereka, jaga hati mereka, dan sayangi mereka sebagaimana mereka menjaga dan menyayangi kita.. Syurga anak di bawah telapak kaki ibu. ingat tu! :')

4. Doa orang yang bermusafir.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Tiga doa yang mustajab; tiada keraguan lagi; Doa ibu bapa, doa orang yang bermusafir.
(Riwayat Abu Daud)

-Allah sentiasa menjaga hambaNya. :') Tidak kira bila dan di mana, dan doa hambaNya yang sedang bermusafir juga merupakan antara doa mustajab. Subhanallah, betapa indah cintaMu dan kasihMy kepada kami Ya Ilahi.. :') Allah amat sayangkan kita. Kan? Sama-sama kita gunakan peluang semasa bermusafir itu untuk berdoa, insyaAllah, doa kita diperkenankan olehNya. insyaAllah.

5. Doa orang yang berpuasa.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Tiga doa yang mustajab; doa orang yang berpuasa sehingga dia berbuka.
(Riwayat Ath Tabhrani)

-Puasa merupakan amalan yang disukai Allah da Rasulullah. Bukan sahaja di bulan Ramadhan, kita telah sedia maklum bahawa banyak ganjaran pahala yang kita boleh perolehi melalui puasa-puasa sunat yang lain. Subhanallah, selain dari mendapat ganjaran pahala berpuasa, Allah juga telah menghadiahkan bonus kepada kita iaitu doa yang mustajab. :') Allah Ar Rahman..

6. Doa anak yang soleh.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda:
Apabila seseorang manusia mati maka terputuslah amalannya melainkan tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya. (Riwayat At Tirmizi)

-Selagi kita punya nyawa, selagi itulah kita sebagai hambaNya berusaha mencari redhaNya dan mengumpul pahala sebanyak yang boleh sebagai bekalan untuk kita di sana nanti. Namun, bila Allah telah menjemput kita, tiada apa yang dapat kita lakukan lagi. InsyaAllah,sama-sama kita berdoa, agar kita dikurniakan anak yang soleh, bagi mendoakan kita apabila kita telah berada di sana nanti. Aamiin Ya Rabb..

7. Doa Orang yang khatam Al Quran.
Abdullah bi Mas'ud berkata:
Sesiapa yang khatam bacaa Al Quran maka baginya doa yang mustajab.
(Fadhail Al Quran oleh Qasim bin Salam)

-Imam An Nawawi dan Imam Ahmad mengatakan, berdoa selepas khatam membaca seluruh Al Quran amat digalakkan. Oleh kerana kedudukan doa yang tinggi, maka disunatkan berdoa untuk kesejahteraan diri, sesama Muslim, dan sebagainya.


Baiklah sahabat semua, itu di antara apa yang dapat dikogsi bersama tentang doa yang mustajab. Saya kongsi berdasarkan apa yang saya baca dalam buku kecil "Andainya engkau tahu" susunan Ustaz Zahazan dan Almy Asenar. Sebenarnya, ada lagi penerangan dan ilmu2 yang amat berguna untuk kita terdapat dalam buku tersebut.

Di bawah merupakan gambar buku tersebut. So, boleh lah beli ya. ^^ Murah dan kecil. Ringkas, macam nota ringkas SPM. hehe,




Jadi, setakat ini dahulu perkongsian yang dapat dikongsi bersama. Sebelum ini mungkin kita tidak sedar dan mensia-siakan keadaan2 di atas. Diharap, dengan perkongsian ini, sedikit sebanyak dapat membantu sesama kita. insyaAllah. :) Semoga kita sentiasa terus istiqamah dalam melakukan sesuatu amal dan kebaikan, semoga kita terus berdoa tanpa putus asa, kerana doa itu senjata orang mukmin. Doa itu penghubung kita dengan Al Khaliq, doa itu kunci segalanya. Tanpa doa, usaha kita hanyalah sia-sia. Tanpa doa, mungkin kita akan semakin jauh dan jauh dariNya. InsyaAllah, semoga kita terus berdoa, dan berdoa, moga Allah redha akan perjuangan kita, moga Allah sentiasa merahmati da memberkati kehidupan kita.

Aamiin Ya Rabb..


Jumpa lagi dalam entry yang seterusnya, wassalam. :)



04 August 2012

Puisi buat hambaNya

Saat jemari menukilkan kata,
Menuruti ilham yang ingin berbicara;
Buat hambaNya; yang tiada ta'rufnya
Buat insan; yang masih belum kutemu namanya

Saat ini tidaklah aku tahu,
Siapa hambaNya yang sedang aku tumpu;
Namun izinkan aku untuk terus berpuisi,
Walau mata tidak nampak siapa hambaNya itu,
Walau hati tidak pernah tahu; untuk siapa puisi dituju

Dengarkanlah,
Kata bicara dariku;
Yang juga seorang hambaNya sepertimu

Puisi ini tentang kasih, tentang jiwa,
Tentang kurniaanNya yang hadir sebagai cinta,
Dan itu; adalah sebagai satu fitrah
Kerana tiada upaya untuk aku menolak satu anugerah,

hambaNya ini;

Tidak sekuat Siti Khadijah,
Yang dikurniakan Ilahi, cinta untuk melamar kasih Muhammad
Tidak semulia Fatimah,
Yang akhirnya ditemukan Ali; yang selama ini hadir dalam perasaan

hambaNya ini;

Bukan seorang ustazah,
Yang mengimpikan lafaz akad dari sang ustaz
Bukan si solehah,
Yang mendambakan kasih cinta si soleh
Bukan si Qariah,
Yang kepingin mendengar alunan ayat cintaNya dari seorang Qari

Namun hakikat yang nyata,
Yang amat ku pasti;
aku adalah seorang hambaNya,
Yang sedang berjuang dalam pencarian nurNya,
Yang sedang ketakutan, untuk dihadapkan bersama narNya

aku adalah hambaNya,
Yang masih mencari segenap cahaya,
Buat menemani kembara menuju syurgaNya,
dan aku adalah hambaNya,
Yang hanya mampu berpegang pada sebuah pengharapan,
Agar nanti bertemu;
hambaNya yang turut sama bersamaku dalam perjuangan,
yang akan setia bersamaNya dalam pencarian cahaya kebahagiaan

dan, aku hanyalah seorang hambaNya;
yang merindu kasih dan cinta dari Tuhan.



02 August 2012

Miftahul Jannah


Miftahul Jannah. Hanya seorang gadis normal yang punya sebuah kehidupan normal. Dilihat pada rupa parasnya, dia hanyalah seorang gadis yang sederhana, tidak berat wajahnya dengan alat solek, tidak sarat tubuh badannya dengan perhiasan. Biarpun dunia sedang sibuk berbangga dengan kejelitaan dan keanggunan, dia bahagia begitu. "Segala puji bagi Allah yang telah membaikan kejadianku lalu membaguskannya dan memuliakan rupa muka ku lalu mengindahkanya dan menjadikan ku daripada sebahagian umat Islam". -Suara hatinya berbisik perlahan tatkala dia melihat dirinya di hadapan cermin.

Jannah merenung jauh ke dalam cermin. namun renungannya bukan tertumpu pada rupa paras dan tubuh badan kurniaanNya. Bertemankan alunan zikir yang kedengaran di komputer,
Astaghfirullahal'azim... Astaghfirullahal'azim... Astaghfirullahal'azim... Suara alunan istighfar menemani Jannah bersama dirinya yang dilihat di dalam cermin.

Dan, renungan Jannah semakin meresap jauh ke dalam. Renungannya seakan kembali ke suatu masa yang lalu; Suatu masa yang telah Allah hadiahkan dan kini ia telah menjadi sejarah. Di dalam cermin itu, Jannah melihat bayangan seorang gadis yang berbeza. Amat berbeza dengan apa yang dilihatnya dalam cermin secara realiti, kerana kini Jannah melihat dalam bayangan hati. Dilihatnya seorang gadis tanpa hijab, coklat dan kerinting rambutnya, mata di lukis tebal dan wajah kelihatan sarat dengan warna. Dilihatnya juga; seorang gadis yang bangga menampakkan susuk badannya; cantik dengan sepatu tingginya. Gadis itu cantik. Cukup cantik, kerana dia mahu dunia untuk melihatnya cantik.

Renungan jannah terus berjalan jauh ke dalam. Seorang gadis yang cantik itu dilihatnya sedang keluar melihat dunia, dan sedang keluar untuk dilihat oleh dunia. Bertemankan seorang pemuda yang tinggi dan manis rupa parasnya, berpimpinan tangan bersama dan semakin dilihat dunia. Jannah melihat gadis itu memegang erat tangan si pemuda; kerana takut andai terlepas pegangan dan terlepas pemuda itu dari kehidupanya. Renungan Jannah semakin tegar memerhati setiap yang dilihatnya; sekali lagi Jannah melihat betapa gadis itu tidak mahu dunia menyisihnya, dan tidak mahu si pemuda itu untuk menjauhinya. Renungan Jannah terus melihat gadis itu bersama dunianya, dan dia terus melihat gadis itu mengatur satu persatu jalan yang semakin jauh dari fitrahnya.

Jannah terus merenung, dan hatinya terus dibawa jauh kedalam renungan.

Dan kini, renungan Jannah tertumpu pada satu penjuru. Di penjuru itu, dilihatnya gadis yang sama. Terdiam rebah dan terduduk dengan tangisan hiba. Gadis yang cantik itu seolah bertukar wajah. Pucat wajahnya, kusut masai rambutnya; matanya penuh takungan dan pipinya berderai linangan. "Dia tak mahu aku! Kenapa dia tak mahu aku?!" -Rontaan gadis itu samakin menangkap renungan Jannah. "Aku bukan aku yang dulu! Aku bukan aku yang dulu!" -Tangisan gadis itu semakin bergema ke dalam renungan Jannah. Jannah terus merenung dan gadis itu terus ditenung. tanpa disedari, renungan Jannah turut bertemankan takungan yang akhirnya turun menjadi satu linangan. Kini hatinya seolah-olah dapat merasakan sesuatu; sesuatu yang sama dirasa oleh gadis itu. -Satu kepedihan. Kepedihan yang datang dalam kehidupan yang dipenuhi dengan kemungkaran. Kepedihan yang datang memberi satu tamparan; bahawa ia adalah satu kehidupan yang jauh dari fitrahNya. Kepedihan yang sedang memberitahu bahawa jalannya itu telah jauh dari jalanNya.

dan Jannah, terus merenung. Memerhati setiap satu yang muncul dalam bayangannya.

Secara tiba-tiba; renungan Jannah terus dibawa ke satu penjuru yang lain. Dilihatnya juga gadis yang sama, tetapi dalam kondisi yang berbeza. Ketika ini, renungan Jannah dengan perlahan memerhatikan gadis itu bersama telekung putihnya. masih ada takungan di mata, masih ada linangan di wajahnya. Namun kini; gadis itu tidak terkulai di penjuru, tetapi dahinya sedang mencium bumi. Bertemankan tangisan, renungan Jannah terdengar suara rayuan

"Ya Allah Ya Rabb.. Ya Rahman Ya Rahim.. Ya Ghaffar Ya Tawwab... hambaMu kini tersungkur di hadapanMu Ya Kabir.. hambaMu hilang kekuatan dan upaya Ya Matin.. hambaMu kini terkulai jatuh membawa segunung dosa Ya Muntaqim.. terimalah seluruh hidup hambaMu ini Ya Khaliq.. terimalah diri hambaMu ini Ya Malik.. ampunilah segala dosaku.. ampunilah dosaku.. ampunilah dosaku.. sesungguhnya saat ini aku serahkan segalanya padaMu Ya Mutakabbir..."

"Hatiku telah lama ku serahkan kepada manusia... Jiwaku telah lama ku serahkan kepada dunia... dan pada ketika ini Ya Tuhan... hambaMu ini memohon sepenuh keampunan, sepenuh pengharapan... agar diriku ini diterima di sisiMu.. Ya Ilahi... Terimalah hambaMu... ya Rabbi..."

Renungan Jannah terus asyik merenung suara rayuan itu. Dan secara tiba-tiba, suara rayuan itu hilang dan kini renungannya beralih arah. Di suatu sudut, dilihatnya gadis yang sama itu; sedang membuka sebuah almari. Di ambilnya senaskah Al Quran yang telah lama ditinggalnya. -Cukup lama. Terlalu lama; Lebih sepuluh tahun lamanya. Dengan linangan air mata, gadis itu membelek helaian pertama.

"Bismillahirrahmanirrahim..." Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihi. "Alhamdulillahirabbil 'alamin"... Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.. "Arrahmanirrahim"... Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihi..
"Malikiyaumiddin".. Pemilik hari pembalasan..
"Iyyakana'budu wa iyyakanasstai'n"... Hanya kepada Engkau kami menyembah dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan.
"Ihdinassiratolmustaqim.." Tunjukkanlah kami jalan yang lurus..."Siratollazi na an'am ta'alaihim, ghairil maghdhu bi 'alaihim wa laddhollin..." Iaitu jalan orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka dan bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula mereka yang sesat..

Aamiin..

Air mata Jannah terus menemani renunganya. Dan, renungan Jannah seakan terhenti di situ. dengan perlahan, renungannya kembali menuju realiti; di mana dia sedang melihat dirinya di cermin. Di mana dia sedang melihat jasadnya sedang berdiri di bumi. Namun, air yang sedang bertakung di matanya masih penuh dan Jannah mengatur langkah untuk beredar dari cermin dan duduk di satu penjuru. Di situ, dia lihat sesuatu; baju yang sama dipakai oleh gadis yang dilihatnya dalam cermin sebentar tadi. Jannah terus berpindah ke satu sudut yang lain; di situ dia lihat sepatu tinggi yang dipakai oleh gadis itu dan dia terus berpindah ke satu sudut yang lain; di situ dia lihat telekung putih yang menjadi teman setia gadis itu ketika gadis itu bersujud bertemu Pencipta. Dan dia bangun menuju ke meja, di capainya senaskah Al Quran; Al Quran yang sama yang dilihatnya ketika dia melihat gadis itu.

Bersama linangan air yang jatuh satu persatu di wajahnya, Jannah bersuara dengan perlahan.
"Alhamdulillah.. Terima Kasih Ya Allah". Di peluk erat telekung dan Al Quran itu, dan linangan air di wajahnya semakin berderai jatuh ke bumi.

Jannah mengimbau kembali apa yang dilihat dalam bayanganya sebentar tadi. Dia melihat baju gadis itu, dan kini dia melihat baju yang sedang dipakainya. Dia membayangi rambut gadis itu, dan kini dia melihat hijab yang sedang menutupi rambutnya. Dia melihat sepatu tinggi yang dipakai oleh gadis itu, dan dia melihat stokin yang menutupi kakinya. Air mata Jannah terus mencurahi wajahnya. Hatinya semakin kuat mengucapkan syukur kepada Ilahi, dan dengan perlahan suara hatinya berbicara;

"Tidak mungkin aku berada pada ketika ini jika tiada pertolonganMu Ya Allah... Tidak mungkin aku menangis sebegini tanpa kurniaanMu Ya Allah.. Alhamdulillah.. Syukur Ya Ilahi... Akan ku cuba sehabis daya untuk memelihara kurniaanMu ini... Akan ku cuba sehabis daya untuk mempertahankan hadiah dariMu ini... Bantulah aku Ya Rabb.. Bantulah aku.. Aamiin.. Allahumma Aaamin Ya Karim..."

Dan;
Biarpun pemuda yang bersama gadis itu tiada dalam kehidupanya kini,
Biarpun dunia tidak melihatnya kini,
Biarpun keseronokan tidak menggembirakanya kini,
Namun Jannah tetap tersenyum,
Tersenyum kerana hatinya bahagia bersama cinta Ilahi..

Dia tahu, dia adalah seorang pendosa; yang tidak terhitung dosa besarnya. Namun dia juga tahu, Allah Maha Pencinta, Maha Pengampun, dan Maha Menerima Taubat hambaNya..


Miftahul Jannah; namanya adalah penyuntik kekuatannya. Dirinya adalah penggeraknya; Miftahul Jannah; -anak kunci syurga.

Dan dia; terus teguh berpegang pada satu kekuatan. Kalimah Tauhid "La ilaha illallah" Tiada Tuhan Yang di sembah melainkan Allah.
Dan dia; terus kukuh percaya pada satu kekuatan; "la hawla wa la quwwata illa billah" Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan kekuatanNya.







"Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu." (Asy Syura: 30)