02 August 2012

Miftahul Jannah


Miftahul Jannah. Hanya seorang gadis normal yang punya sebuah kehidupan normal. Dilihat pada rupa parasnya, dia hanyalah seorang gadis yang sederhana, tidak berat wajahnya dengan alat solek, tidak sarat tubuh badannya dengan perhiasan. Biarpun dunia sedang sibuk berbangga dengan kejelitaan dan keanggunan, dia bahagia begitu. "Segala puji bagi Allah yang telah membaikan kejadianku lalu membaguskannya dan memuliakan rupa muka ku lalu mengindahkanya dan menjadikan ku daripada sebahagian umat Islam". -Suara hatinya berbisik perlahan tatkala dia melihat dirinya di hadapan cermin.

Jannah merenung jauh ke dalam cermin. namun renungannya bukan tertumpu pada rupa paras dan tubuh badan kurniaanNya. Bertemankan alunan zikir yang kedengaran di komputer,
Astaghfirullahal'azim... Astaghfirullahal'azim... Astaghfirullahal'azim... Suara alunan istighfar menemani Jannah bersama dirinya yang dilihat di dalam cermin.

Dan, renungan Jannah semakin meresap jauh ke dalam. Renungannya seakan kembali ke suatu masa yang lalu; Suatu masa yang telah Allah hadiahkan dan kini ia telah menjadi sejarah. Di dalam cermin itu, Jannah melihat bayangan seorang gadis yang berbeza. Amat berbeza dengan apa yang dilihatnya dalam cermin secara realiti, kerana kini Jannah melihat dalam bayangan hati. Dilihatnya seorang gadis tanpa hijab, coklat dan kerinting rambutnya, mata di lukis tebal dan wajah kelihatan sarat dengan warna. Dilihatnya juga; seorang gadis yang bangga menampakkan susuk badannya; cantik dengan sepatu tingginya. Gadis itu cantik. Cukup cantik, kerana dia mahu dunia untuk melihatnya cantik.

Renungan jannah terus berjalan jauh ke dalam. Seorang gadis yang cantik itu dilihatnya sedang keluar melihat dunia, dan sedang keluar untuk dilihat oleh dunia. Bertemankan seorang pemuda yang tinggi dan manis rupa parasnya, berpimpinan tangan bersama dan semakin dilihat dunia. Jannah melihat gadis itu memegang erat tangan si pemuda; kerana takut andai terlepas pegangan dan terlepas pemuda itu dari kehidupanya. Renungan Jannah semakin tegar memerhati setiap yang dilihatnya; sekali lagi Jannah melihat betapa gadis itu tidak mahu dunia menyisihnya, dan tidak mahu si pemuda itu untuk menjauhinya. Renungan Jannah terus melihat gadis itu bersama dunianya, dan dia terus melihat gadis itu mengatur satu persatu jalan yang semakin jauh dari fitrahnya.

Jannah terus merenung, dan hatinya terus dibawa jauh kedalam renungan.

Dan kini, renungan Jannah tertumpu pada satu penjuru. Di penjuru itu, dilihatnya gadis yang sama. Terdiam rebah dan terduduk dengan tangisan hiba. Gadis yang cantik itu seolah bertukar wajah. Pucat wajahnya, kusut masai rambutnya; matanya penuh takungan dan pipinya berderai linangan. "Dia tak mahu aku! Kenapa dia tak mahu aku?!" -Rontaan gadis itu samakin menangkap renungan Jannah. "Aku bukan aku yang dulu! Aku bukan aku yang dulu!" -Tangisan gadis itu semakin bergema ke dalam renungan Jannah. Jannah terus merenung dan gadis itu terus ditenung. tanpa disedari, renungan Jannah turut bertemankan takungan yang akhirnya turun menjadi satu linangan. Kini hatinya seolah-olah dapat merasakan sesuatu; sesuatu yang sama dirasa oleh gadis itu. -Satu kepedihan. Kepedihan yang datang dalam kehidupan yang dipenuhi dengan kemungkaran. Kepedihan yang datang memberi satu tamparan; bahawa ia adalah satu kehidupan yang jauh dari fitrahNya. Kepedihan yang sedang memberitahu bahawa jalannya itu telah jauh dari jalanNya.

dan Jannah, terus merenung. Memerhati setiap satu yang muncul dalam bayangannya.

Secara tiba-tiba; renungan Jannah terus dibawa ke satu penjuru yang lain. Dilihatnya juga gadis yang sama, tetapi dalam kondisi yang berbeza. Ketika ini, renungan Jannah dengan perlahan memerhatikan gadis itu bersama telekung putihnya. masih ada takungan di mata, masih ada linangan di wajahnya. Namun kini; gadis itu tidak terkulai di penjuru, tetapi dahinya sedang mencium bumi. Bertemankan tangisan, renungan Jannah terdengar suara rayuan

"Ya Allah Ya Rabb.. Ya Rahman Ya Rahim.. Ya Ghaffar Ya Tawwab... hambaMu kini tersungkur di hadapanMu Ya Kabir.. hambaMu hilang kekuatan dan upaya Ya Matin.. hambaMu kini terkulai jatuh membawa segunung dosa Ya Muntaqim.. terimalah seluruh hidup hambaMu ini Ya Khaliq.. terimalah diri hambaMu ini Ya Malik.. ampunilah segala dosaku.. ampunilah dosaku.. ampunilah dosaku.. sesungguhnya saat ini aku serahkan segalanya padaMu Ya Mutakabbir..."

"Hatiku telah lama ku serahkan kepada manusia... Jiwaku telah lama ku serahkan kepada dunia... dan pada ketika ini Ya Tuhan... hambaMu ini memohon sepenuh keampunan, sepenuh pengharapan... agar diriku ini diterima di sisiMu.. Ya Ilahi... Terimalah hambaMu... ya Rabbi..."

Renungan Jannah terus asyik merenung suara rayuan itu. Dan secara tiba-tiba, suara rayuan itu hilang dan kini renungannya beralih arah. Di suatu sudut, dilihatnya gadis yang sama itu; sedang membuka sebuah almari. Di ambilnya senaskah Al Quran yang telah lama ditinggalnya. -Cukup lama. Terlalu lama; Lebih sepuluh tahun lamanya. Dengan linangan air mata, gadis itu membelek helaian pertama.

"Bismillahirrahmanirrahim..." Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihi. "Alhamdulillahirabbil 'alamin"... Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.. "Arrahmanirrahim"... Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihi..
"Malikiyaumiddin".. Pemilik hari pembalasan..
"Iyyakana'budu wa iyyakanasstai'n"... Hanya kepada Engkau kami menyembah dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan.
"Ihdinassiratolmustaqim.." Tunjukkanlah kami jalan yang lurus..."Siratollazi na an'am ta'alaihim, ghairil maghdhu bi 'alaihim wa laddhollin..." Iaitu jalan orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka dan bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula mereka yang sesat..

Aamiin..

Air mata Jannah terus menemani renunganya. Dan, renungan Jannah seakan terhenti di situ. dengan perlahan, renungannya kembali menuju realiti; di mana dia sedang melihat dirinya di cermin. Di mana dia sedang melihat jasadnya sedang berdiri di bumi. Namun, air yang sedang bertakung di matanya masih penuh dan Jannah mengatur langkah untuk beredar dari cermin dan duduk di satu penjuru. Di situ, dia lihat sesuatu; baju yang sama dipakai oleh gadis yang dilihatnya dalam cermin sebentar tadi. Jannah terus berpindah ke satu sudut yang lain; di situ dia lihat sepatu tinggi yang dipakai oleh gadis itu dan dia terus berpindah ke satu sudut yang lain; di situ dia lihat telekung putih yang menjadi teman setia gadis itu ketika gadis itu bersujud bertemu Pencipta. Dan dia bangun menuju ke meja, di capainya senaskah Al Quran; Al Quran yang sama yang dilihatnya ketika dia melihat gadis itu.

Bersama linangan air yang jatuh satu persatu di wajahnya, Jannah bersuara dengan perlahan.
"Alhamdulillah.. Terima Kasih Ya Allah". Di peluk erat telekung dan Al Quran itu, dan linangan air di wajahnya semakin berderai jatuh ke bumi.

Jannah mengimbau kembali apa yang dilihat dalam bayanganya sebentar tadi. Dia melihat baju gadis itu, dan kini dia melihat baju yang sedang dipakainya. Dia membayangi rambut gadis itu, dan kini dia melihat hijab yang sedang menutupi rambutnya. Dia melihat sepatu tinggi yang dipakai oleh gadis itu, dan dia melihat stokin yang menutupi kakinya. Air mata Jannah terus mencurahi wajahnya. Hatinya semakin kuat mengucapkan syukur kepada Ilahi, dan dengan perlahan suara hatinya berbicara;

"Tidak mungkin aku berada pada ketika ini jika tiada pertolonganMu Ya Allah... Tidak mungkin aku menangis sebegini tanpa kurniaanMu Ya Allah.. Alhamdulillah.. Syukur Ya Ilahi... Akan ku cuba sehabis daya untuk memelihara kurniaanMu ini... Akan ku cuba sehabis daya untuk mempertahankan hadiah dariMu ini... Bantulah aku Ya Rabb.. Bantulah aku.. Aamiin.. Allahumma Aaamin Ya Karim..."

Dan;
Biarpun pemuda yang bersama gadis itu tiada dalam kehidupanya kini,
Biarpun dunia tidak melihatnya kini,
Biarpun keseronokan tidak menggembirakanya kini,
Namun Jannah tetap tersenyum,
Tersenyum kerana hatinya bahagia bersama cinta Ilahi..

Dia tahu, dia adalah seorang pendosa; yang tidak terhitung dosa besarnya. Namun dia juga tahu, Allah Maha Pencinta, Maha Pengampun, dan Maha Menerima Taubat hambaNya..


Miftahul Jannah; namanya adalah penyuntik kekuatannya. Dirinya adalah penggeraknya; Miftahul Jannah; -anak kunci syurga.

Dan dia; terus teguh berpegang pada satu kekuatan. Kalimah Tauhid "La ilaha illallah" Tiada Tuhan Yang di sembah melainkan Allah.
Dan dia; terus kukuh percaya pada satu kekuatan; "la hawla wa la quwwata illa billah" Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan kekuatanNya.







"Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu." (Asy Syura: 30)



No comments: