25 July 2012

Rintihan deretan kata

Tuhanku..

Izinkanku untuk menukilkan suara bicara menggunakan kata,
Walau ku tahu Kau Dengar dan Tahu segalanya tanpa perlu ku bersuara,
Namun aku masih mahu terus mewarkahkan kata; segalanya
Kerana saat ini jiwa terlalu ingin untuk diluahkan bicara

Deretan kata di sini bukan hanya sekadar puisi
Tidak aku susun ia untuk dilagukan menjadi peneman sunyi

Aku susun satu persatu kata bicara ini
Kerana aku tahu; aku manusia yang lupa

Juga,
Aku jadikan deretan kata ini;
Sebagai monolog yang aku paparkan
Kerana,
Andai nanti aku lelap dalam pelukan bumi
Deretan kata disini aku jadikan kenangan

Tuhanku,
Ingin ku suarakan betapa aku serahkan segala yang ada;
Pada jasadku,
Pada batinku
Pada hatiku,
Pada kalbuku;
Hanya untukMu -Pemilik hidupku

Bertahun lama aku kehilangan
Berjalan tempang dalam kegelapan
Walau aku tahu; aku punya lampu untuk disuluhkan.
Namun aku masih dungu,
Membiarkan lampu itu terdiam kaku di satu penjuru
Berselimutkan debu, bersuarakan bisu.

Tidak aku sentuh; tidak aku bawa
Apatah lagi untuk aku suluh
Segalanya tidak; untuk suatu masa yang lama

Hingga,
Aku bertemu tembok yang tak mampu untuk aku panjat,
Apatah lagi untuk aku robohkan
Tatkala disitu baru terpecah segala kedunguan,
Baru ku sedar, aku perlukanMu Tuhan.

Tuhanku,
Sungguh aku perlu cintaMu,
Aku ingin sentiasa bersama dalam kasihMu
Di setiap hembus nafasku,
Di setiap degup jantungku,
Aku ingin Kau sentiasa di kalbuku

Hingga tiba suatu masa, aku akan bertemu Mu jua...




















No comments: