17 July 2012

Aku hambaNya; hadiah, hijrah dan mujahadah

Bismillahirrahmanirrahim..
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang..

Dua dekad lebih, yang lalu
Aku diberi jasad olehMu, Ya Rabb
Ketika itu jugalah, aku melihat dunia
Tatkala itu,
Sungguh, aku tidak mengerti apa-apa
Apa yang dilihat, didengar, dan diteriakan,
Sungguh, aku tidak mengerti apa-apa.
Terima Kasih, Ya Khaliq
Di atas sebuah penciptaan ini..

Dan masa,
Terus berjalan,
Begitu juga aku,
Bermula dari si kecil tidak mampu berbuat apa-apa
Aku mula pandai bersuara;
Ketawa, merangkak, berjalan;
Terima Kasih, Ya Wahab
Di atas kurniaan ini...

Ketika itu juga,
Aku semakin mengenal dunia
Dan pelbagai perasaan, telah Kau berikan,
Aku kenal apa itu suka,
Aku tahu apa itu duka,
Aku mula mencari gembira,
Aku terus mengejar bahagia
Terima Kasih, Ya Rahman
Di atas segala nikmat kehidupan ini...

Namun,
Berbekalkan segala nikmat itu
Segalanya ku salah ertikan;
Hadiah dariMu;
Ternyata, ku salah gunakan
Kehidupan ini; semakin ku salah tafsirkan

Apa yang mereka ada, itulah yang ku sangka bahagia
Sekadar dunia semata;
Apa yang ku lihat, apa yang ku dengar, apa yang ku inginkan;
Itulah bahagia.
Ketika dunia memuja wanita cantik;
Aku juga mahu cantik.
Aku juga mahu menjadi pujaan dunia.

Ketika dunia mengejar cinta;
Aku juga mahu bercinta, mencinta, dan dicinta.
Mahu gembira, mahu bahagia bersama si pecinta
Aku mahu bahagia; aku mahu gembira

Ketika dunia inginkan penghargaan;
Aku juga mahu dihargai
Aku mahu dikasihi, aku mahu disayangi
Biarlah apa kata mereka,
Aku mahu dikenali.
Sungguh; aku mahu disanjungi.

Berbekalkan diri sebagai seorang wanita;
Kurniaan itu juga aku salah tafsirkan,
Aku salah gunakan.
Kononya; wanita mahu segala yang dunia inginkan
Cantik, cinta, dan penghargaan
Populariti yang mampu membanggakan
Sungguh;
Segala itu pernah aku impikan.
Ampuni khilafku, Ya Tuhan..


Sesungguhyna;
Hakikat lebih indah dari impian
Tuhan tidak terus membenarkan segala khayalan yang aku inginkan
Biarpun, aku bersusah payah mengejar semua itu
Biarpun, aku hancur, pedih, dan patah dalam pencarian itu,
Tuhan tidak terus membenarkan.
Sedikit demi sedikit,
Kehidupan yang aku kejar;
Menjadi racun dalam diri
Sedikit demi sedikit,
Racun itu jugalah penawar bagi hati
Sedikit demi sedikit,
Titik titik hitam yang aku warnakan
Seolah-olah membakar diri;
Membakar kehidupan.

Aku tidak gembira;
Biarpun wajah dan ketawa aku berkata ya
Aku tidak bahagia;
Biarpun aku punya cinta dan dunia
Hidup masih kosong;
Masih tiada punya apa-apa
walau hakikatnya aku punya semuanya.

Ya Allah, Ya Mutakabbir
Ya Dzal Jalali wal ikram
Ya Muqtadir,
Ya Allah, Kau Maha Megah dan Maha Memiliki Segala Kebesaran
Pemilik segala kebesaran dan kemuliaan
Kau Maha Berkuasa,
Ya Rabb..
Ya Qadir, Ya Bari'
Ya Kabir
Kau Maha Menentukan, Maha Mengatur segala urusan
Dan Kau Maha Besar,
Allahuakbar.

Tanpa aku sedari,
Kondisi demi kondisi yang aku pernah ada,
Situasi demi situasi yang aku pernah jumpa,
Segala itu membawaku hingga hari ini;
Dan Kau hadiahkan aku kasihMu,
Juga CintaMu dan CahayaMu,
Agar aku tidak terus digelapkan oleh kehitaman yang aku cipta sendiri
Hakikatnya;
Ia lebih indah dari impian
Lebih bahagia dari khayalan
Lebih aku sayang dari apa yang pernah aku impikan

Ya Rabb,
Dan kini,
Hadiah itu menjadikan aku sebagai seorang mujahidahMu
Hijrah kehidupan menjadikan ku sebagai pengejar redhaMu
Dan suara kecilku merintih, Ya Allah
Letakkanlah dunia hanya ditanganku; tidak dihatiku
Kerana aku hanya mahu cintaMu, Ya Rahim
Untuk berada teguh dalam hati, jiwa, dan kehidupanku

Ya Muhaimin
Suara kecilku juga berkata
Peliharalah hadiah yang telah Engkau hadiahkan
Bantulah aku, Ya Tuhan
Agar hadiah ini tidak aku lepaskan
Agar hadiah ini tidak akan aku calarkan
Aku mahu jaga hadiah ini sehabis daya ku, Ya Allah
Bantulah hambaMu, Ya Allah

Ya Qawi Ya Matin,
Kau Maha Teguh, Maha Kuat
Kurniakanlah aku keteguhan dan kekuatan itu, Ya Allah
Agar aku terus berjalan sebagai seorang hambaMu,
Menjaga hadiah pemberianMu,
Dan kukuh dalam mujahadah keranaMu

Ya Mujib,
Kau Maha Memperkenankan Doa,
Ya Samad,
Kau lah tempat ku meminta segalanya;
Dan suara kecilku ketika ini meminta;
Ambil lah aku ketika aku sedang bermujahadah
Jemputlah aku ketika keadaanku sebagai seorang mujahidah;
Mujahadah keranaMu, mencari redhaMu,
Dan akhirkanlah perjalan ini ketika aku berada di jalanMu....

Ampuni aku, Ya Ghafar..
Dengarlah suaraku, Ya Sami'
Bukankan aku pintu rahmatMu, Ya Fattah
Sesungguhnya hanya Kau Ya Allah,
Yang Maha Esa, tempat ku bergantung segalanya...




Amin... Amin.... Ya Rabbal Alamin....







No comments: