24 July 2012

Kita semua mahu jadi baik!

Bismillahirrahmanirrahim..
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.. Salam sejahtera ke atas kalian semua, semoga Allah merahmati dan memberkati kalian. Amin ya Rabb.

Baiklah, terus kepada cerita yang hendak disampaikan. eh, bukan cerita, perkongsian. Mungkin. :)
Sesuatu yang ingin dikongsi disini. Perihal BAIK. Yup! Baik. Apa itu baik? Kalau ikut kefahaman biasa kita, baik itu mestilah tidak melakukan sesuatu yang tidak baik. kan? hehehe.. tetapi, baik itu tidaklah bermaksud bebas dari khilaf. Tidak sama sekali. Kita bukanlah nabi, yang bersifat maksum. Bukan juga malaikat yang tidak mempunyai nafsu. Kita adalah manusia; yang punya nafsu, keinginan, dan perasaan. Dan yang paling kita ketahui, iblis dan syaitan, tidak akan berhenti untuk terus menyesatkan kita.

Iblis telah berkata secara terang-terangan. Dan kita tahu akan hakikat itu. Seperti dalam surah Al Hijr, ayat 39;

"Iblis berkata: "Wahai Tuhanku! kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya"

Dan, kalau kita baca tafsir Al Quran, banyak ayat yang menerangkan tentang janji syaitan dan iblis ini. Ya, itulah hakikat. dan itu lah yang sedang terjadi. Dan itu yang harus kita lawan.
Moga Allah sentiasa bersama kita, memberi kita kekuatan dalam melawan hasutan syaitan. Amin ya Rabbal Alamin..

Baiklah sahabat semua, sebenarnya, apa yang ingin dikongsikan di sini ialah, betapa saya lihat sebenarnya, RAMAI YANG MAHU JADI BAIK. Alhamdulillah. Alhamdulilllah. Segala puji bagi Allah. Kerana itu lah fitrah manusia. Manusia yang normal; sentiasa mahu sesuatu yang baik. Cuma mungkin, apa yang membuatkan sesuatu itu kelihatan tidak baik, adalah ketika perasaan mereka merasakan bahawa ianya baik bagi mereka, tetapi hakikatnya ia tidak baik bagi agama, dan tidak baik bagi mereka yang lain. Ya, itulah yang berlaku.

Sahabat, kenapa ia berlaku? Tak perlu melihat sesiapa yang lain, cukuplah melihat diri sendiri. Apa yang membuatkan kita melakukan sesuatu yang tidak baik? Secara peribadinya, saya berpendapat, kita mengikut NAFSU dan PERASAAN, dan syaitan dengan pantas menggunakan segala ruang yang ada untuk lebih "menyokong" kita melakukan sesuatu kemungkaran.

Seperti contoh; kita tidak menutup aurat. Kenapa? Kerana, perasaan kita pada ketika itu, menutup aurat kelihatan tidak cantik. Kita tidak boleh tunjuk kecantikan kita pada dunia bila kita menutup aurat. Suara hati ketika itu, tahu akan kewajipan menutup aurat. Tetapi kita buat tidak tahu, kerana perasaan kita mahu kita kelihatan cantik di mata dunia, nafsu kita mahu kita jadi pujian serata manusia.

Contoh lagi; Kita tinggal solat. Kenapa? Kerana perasaan kita pada masa itu. Mungkin, penat. Mungkin, malas; mungkin sibuk. Kita mahu terus melakukan sesuatu yang kita sedang lakukan sehingga kita terus mengabaikan solat. Kita mahu shopping, kita mahu chatting, kita mahu berkerja; kerana nafsu kita mahu semua itu. dan syaitan, menggunakan ruang dan peluang ini untuk berbisik "Tak payah solat!".

Sahabat, apa yang saya katakan, dan contoh-contoh ini; ini adalah hakikat dan realiti. Saya tidak menunding jari ke arah sesiapa. Diri saya sendiri, sebagai contohnya. Kerana kita semua manusia. Punya fitrah yang sama, dan punya perasaan juga nafsu. Kan?

Baiklah. Cukup tentang contoh-contoh, kerana apa yang ingin dikatakan pada kali ini adalah tentang BAIK. KITA SEMUA MAHU JADI BAIK! kan? ^^ Bagaimana mahu jadi baik dan jadi lebih baik? satu perkataan yang semua orang tahu, satu jawapan yang semua sudah sedia maklum iaitu dengan PERUBAHAN. Benar, untuk bercakap tentang perubahan itu mudah, tetapi untuk melaksanakannya, ia tidak semudah yang dikata. Jika berubah itu mudah, sudah tentu semua manusia di dunia ini baik. Tidak ada yang melakukan sesuatu yang tidak baik. kan?

Tetapi sahabat semua, bagaimana untuk berubah? mana mungkin kita berubah bila kita sedang asyik dalam sesuatu yang telah biasa kita lakukan. Sebelum ini, suka pakai begini; tiba-tiba kena tutup aurat. Mesti ada rasa sesuatu; iaitu perasaan Tak suka. Jadi, diteruskan pakai begitu kerana kita tak suka tutup aurat. Namun, kita perlu ingat. Firman Allah dalam surah Al Baqarah, ayat 216:

"..dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."

Sesuatu yang suka, tidak semestinya ia sesuatu yang baik. Maka, SUKA dan BAIK, tidak dapat untuk diletakkan bersama. Ingat dalam hati! InsyaAllah. :)

Beberapa perkara lagi yang saya ingin perkatakan dalam soal ini, adalah berdasarkan apa yang saya lihat, dan alami. Saya bukanlah orang baik. Tidak sama sekali. Jauh sama sekali untuk saya katakan saya adalah baik. Saya hanyalah salah seorang dari hambaNya yang pernah berada dalam satu dunia yang lain, dan dengan pertolongan dan hadiah yang Allah berikan, saya bangun dan cuba sedaya upaya memperbaiki segala yang telah rosak dalam diri; hati, fikiran, jiwa, iman.

Dan, apa yang boleh saya kongsikan disini, bila terdetik hati kita, untuk meninggalkan sesuatu laranganNya, teruslah gunakan peluang dan saat itu. Kerana itu adalah peluang, yang mungkin akan ada lagi, dan mungkin juga tidak akan datang lagi. Kita boleh berubah! Kita boleh kembali kepada fitrah. Sesuatu perubahan itu, secara normalnya, bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan secara serentak. Secara logik akalnya, perubahan memerlukan peringkat. Seperti membina rumah, ia juga memerlukan peringkat. Rumah tidak akan terbina begitu saja dalam sekelip mata, melainkan Allah membenarkannya, kunfayakun, maka jadilah ia. Tapi disini, dalam konteks kehidupan biasa, perubahan biasa bagi seorang manusia, ia juga memerlukan peringkat. Dan itu adalh hasil usaha kita sendiri.

Bagaimana untuk berubah? Lihat pada diri sendiri. Bagaimana kita sekarang, pada tahap apakah kita sekarang. Jika kita seorang yang malas solat, maka, kita cubalah untuk menjaga solat. Sahabat sekalian, solat itu adalah medium untuk kita berkomunikasi dengan Yang Maha Pencipta. Kita semua tahu, solat itu adalah tiang agama. Solat adalah tapak dan asas pembinaan segalanya. Maka, mulalah dengan menjaga solat kita. Indahnya solat, bila kita sendiri merasakan perubahan pada diri kita. InsyaAllah, mulalah. Kita boleh berubah!

Tetapi, kalau kita seorang yang menjaga solat? Lihat diri dari aspek yang lain. Bagaimana dengan pakaian, pertuturan, dan cara hidup. Kita perlu melihat diri kita, jangan biarkan orang lain yang melihat. Takut, andai cara mereka melihat tidak seperti yang Allah mahukan.

Refleksi diri; itu amat penting. Kerana tanpa melihat diri sendiri dalam cermin kehidupan, bagaimana kita tahu apa yang perlu diubah. Bila kita mahu keluar, kita bersolek, kita lihat cermin. Takut ada comot, takut hodoh. Begitulah juga dengan diri kita dan kehidupan. :)
Sahabat semua, berubah itu sukar, namun ia bukan mustahil. InsyaAllah, mulakan langkah demi langkah, Allah akan membantu kita, insyaAllah.

Berkongsi pengalaman diri; ramai sahabat yang ingin berubah. Alhamdulillah. Terima Kasih Ya Allah. Syukur bila mereka punya perasaan sebegitu. ^^ Bagi yang punya rasa itu, mulalah langkah. Yakin pada Allah, yakin pada diri. InsyaAllah, Allah sentiasa bersama kita. :)

Allah juga berfirman dalam surah Al Ankabut ayat 69, maksudnya;

"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh2 kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami; dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang2 yang membaiki amalannya"

Subhanallah, Maha Suci Allah. Indah sungguh kasih sayang dan cinta Allah pada kita. :')
Janji Allah adalah benar, Allah tidak pernah dan tidak akan memungkiri janji. Yakinlah dengan Allah sahabatku sekalian.. Kuaktakn diri, insyaAllah, kita boleh berubah! kerana, kita semua mahu jadi baik! insyaAllah.


Guna lah setiap ruang doa untuk memohon padaNya agar Dia sentiasa membantu kita. Jangan kita putus asa dengan Allah. Jangan.. Bagaimana mahu berjaya jika kita putus asa. Kan?

Sahabat semua,

Apa yang dikongsi, adalah kerana saya mahu kita semua rasa bahagia. Saya mahu kita untuk berjalan bersama; ke arah yang lebih baik; di jalanNya. Kerana tiada apa yang lebih baik melainkan sesuatu kebaikan dan kebahagiaan yang Allah hadiahkan pada kita.

Genggamlah dan peganglah ia dalam hati, semoga Allah merahmati dan memberkati kalian semua. Moga Allah sentiasa bersama kita. Amin ya Rabbal Alamin..








"katakan pada diri, AKU BOLEH LAKUKAN! AKU BOLEH BERUBAH!"



:)










No comments: